Sunday, December 26, 2010

Hafiz..Si Penghafaz Al-Quran..


"Ummi..Tinggal lagi 6 juzuk lagi..Ummi rasa sempat tak..Hafiz rasa macam tak sempatlah ummi.." Perlahan suara Hafiz, berbisik ke telinga umminya.

"Insyaallah Hafiz..Minta Allah beri kekuatan.." Balas ummi.

Ummi berlalu ke tandas. Airmata mengalir perlahan ke pipinya. Terlalu besar ujian Allah buatnya. Namun dia perlu tabah. Anak hanyalah amanah dan pinjaman Allah buatnya.

Di sekolah, Hafiz sering pengsan dan dia pernah mengadu pada ummi dan abahnya yang dia terasa sakit-sakit badan. Setelah menjalani pemeriksaan di hospital, barulah dia dan keluarganya tahu, ajal sedang mengejarnya..

"Saya harap Tuan dan Puan tabahkan hati. Hafiz disahkan mengidap penyakit leukemia tahap terakhir. Dia hanya mempunyai 6 bulan untuk hidup. Yang selebihnya, kita serahkan pada Yang Maha Esa.."

Ummi dan Abah saling berpandangan. Bisu dan kelu. Tiada kata yang mampu dizahirkan. Ujian ini terlalu berat buat mereka.

Jika di ikutkan kata doktor, kini hayat Hafiz tinggal lagi dua bulan sahaja. Keadaannya semakin kritikal. Dia dimasukkan ke wad. Ustaz-ustaz dan rakan-rakannya datang silih berganti melawatnya. Hafiz mengenali ramai ustaz kerana dia rajin hadir ke masjid dan majlis-majlis ilmu. Hubungannya sangat akrab dengan para ustaz. Begitu juga dengan rakan-rakannya. Jika berkesempatan, Hafiz akan cuba menghafaz baki Al-Quran yang masih tertinggal.

Terngiang-ngiang di telinga ummi kata-kata Hafiz mengenai sebuah hadis : 'Siapa yang membaca Al Qur'an, mempelajarinya, dan mengamalkannya, maka dipakaikan mahkota dari cahaya pada hari kiamat. Cahayanya seperti cahaya matahari dan kedua orang tuanya dipakaiakan dua jubah (kemuliaan) yang tidak pernah didapatkan di dunia. Keduanya bertanya, "Mengapa kami dipakaikan jubah ini?" Dijawab,"Karena kalian berdua memerintahkan anak kalian untuk mempelajari Al Qur'an." (HR. Al-Hakim)'

"Sebab tulah Hafiz nak sangat hafaz Quran ni, selain manfaatnya yang tak terkira, Hafiz nak bagi ummi dan abah hadiah yang terbaik dan terindah.." Mengalir airmata ummi setiap kali terbayangkan kata-kata itu.

Walaupun usianya baru menjangkau 16 tahun, tetapi dia sudah mampu menghafaz 24 juzuk ayat Al-Quran..Kegigihannya mendalami agama benar-benar membuatkan ummi dan abah berasa bangga memiliki anak sepertinya.

Sepanjang di hospital, ummilah yang sentiasa menemaninya. Ummi sering memasang bacaan Al-Quran bagi baki 6 juzuk yang terakhir. Kadangkala semasa Hafiz diserang penyakitnya, ummi dapat melihat kumat-kumit mulutnya cuba mengikut bacaan yang di dengar. Apabila keadaan Hafiz agak stabil, dia akan meminta ummi mendengar dan menyemak bacaannya. Hatinya yang bersih memudahkannya untuk menghafal. Walaupun sekadar mendengar berulang-ulang kali, Hafiz dapat mengingat dengan baik.

"Ummi,boleh tak ummi bawa Hafiz ke tandas. Hafiz nak ambil wudhuk sendiri..Hafiz nak solat subuh berdiri dengan abah dan ummi.." Pinta Hafiz.

Sebelum ini, ketika Hafiz terlantar teruk, ummi dan abahlah yang membantu mewudhukannya. Dia juga sering mengikut ummi dan abahnya bersolat secara berjemaah walaupun dia hanya mengikut di atas katil dalam keadaan terlantar.

Hampir menitis airmata ummi melihat Hafiz cuba untuk mengagahkan dirinya berdiri,berwudhuk dan solat seperti biasa. Hafiz menyandarkan sedikit bahu sisinya ke dinding bagi membantunya berdiri.

"Assalamualaikum warahmatullah.......Assalamualaikum warahmatullah..." seusai abah memberikan salam, terus ditoleh kearah Hafiz untuk memastikan keadaannya baik.

"Abang..........." ummi bersuara perlahan. Seolah menyedari keadaan Hafiz.

Ummi dan abah terus bergerak pantas ke arah Hafiz. Hafiz masih dalam keadaan duduk tahiyat akhir. Sisi bahunya rapat di dinding. Jari telunjuknya rapat di peha. Matanya terpejam rapat.

"Hafiz..Hafiz....Hafiz......" Ummi dan abah cuba memanggil Hafiz berulang kali. Namun tiada reaksi.

"Hafiz................................" Ummi terus memeluk Hafiz ke pangkuannya setelah menyedari jasad anaknya itu tidak lagi bernyawa.

"Hafiz jangan tinggalkan ummi..Hafiz kata nak habiskan hafazan Hafiz...Tinggal lagi 2 juzuk je Hafiz...Ummi janji ummi tolong Hafiz...." Rintih ummi.

"Yang, bersabarlah..Jangan buat begini..Sabar..Allah lebih sayangkan dia.." Abah cuba menenangkan hati ummi. Walau pun hatinya juga remuk dan sedih, tetapi dia perlu tabah, jika tidak isterinya akan bertambah lemah.

Jenazah Hafiz dimandikan dan dikafankan oleh ustaz dan rakan-rakan di rumahnya. Urusan memandikan dan mengkafankan jenazah sangat mudah dilakukan. Badannya begitu lembut seperti orang yang masih hidup. Tidak kaku seperti biasa. Bagi mereka yang biasa memandikan dan mengkafankan jenazah akan dapat merasakan kelainan pada jenazah Hafiz.

"Nanti..nanti..Ramai lagi yang baru sampai.." Suara seorang jemaah. Meminta ayah Hafiz selaku imam agar tidak memulakan lagi solat jenazah..Saf sudah penuh sehingga tiada lagi ruang untuk tetamu yang tidak putus-putus datang.

"Baiklah. Kita mulakan sekarang.." Kata ayah Hafiz.

"Tapi bang, ramai lagi yang datang ni.."

"Tak pe lah, nanti kita buat second round pula..Ruang sudah penuh.." Cadang Ustaz Khalid.

Solat jenazah dimulakan, lagi dan lagi. Kerana terlalu ramai orang yang datang, solat jenazah diadakan sebanyak 3 kali atas permintaan ramai. Selepas kumpulan yang pertama selesai, kumpulan kedua mengambil tempat dengan di imamkan oleh Ustaz Kamal..Solat jenazah kali ketiga pula di imamkan Ustaz Suhaimi setelah masih ramai tetamu yang tidak berkesempatan melakukan solat jenazah..
Keajaiban seterusnya dapat dilihat tetamu yang hadir apabila jenazah dibawa keluar untuk dibawa ke kawasan perkuburan yang terdekat. Sebaik sahaja jenazah dibawa keluar dari pintu rumah, jenazah dilitupi oleh awan. Awan tersebut setia mengiringi jenazah ke tanah
perkuburan. Urusan pengebumian arwah berjalan dengan lancar. Sebaik sahaja talkin dan doa diaminkan, awan tersebut berpecah.. Hal ini dapat disaksikan dengan jelas oleh semua tetamu yang hadir...

Subhanallah.........

* Kisah ini merupakan kisah benar yang diceritakan oleh seorang ustaz .Hafiz, berasal daripada Sungai Buloh Selangor, seorang remaja yang dekat dengan Allah..Semoga dapat dijadikan iktibar buat saya dan anda semua..Berapa usia kita sekarang dan dimana ayat-ayat Al-Quran dihati kita........

-Allah Maha Mengetahui-


No comments:

Post a Comment