Monday, December 27, 2010

Pencinta-Nya : 'Ubaid ibn Umair'


“Abang,lihatlah wajah isterimu ini..Betapa cantiknya..” Suaminya tersenyum. Si isteri asyik memuji kecantikan wajahnya.
“Tentulah isteriku..Wajahmu sangat rupawan..”
“Abang rasa, ada tak lelaki yang tak tergoda saat memandang kejelitaan saya?” Suaminya terdiam seketika.
Ada isteriku,” jawabnya.
“Apa?! Abang cakap ada orang yang tak akan tergoda melihat wajah jelita saya ni?!”
“Ya, isteriku.Ada seorang lelaki yang tak akan tergoda oleh kejelitaanmu itu…”
“Siapakah dia?”
“Lelaki itu adalah ‘Ubaid ibn ‘Umair …” jawab suaminya.
Kegelisahan menyaluti wajah wanita rupawan itu. Syaitan membisikkannya benih-benih kemungkaran ke dalam dirinya.
“Abang,adakah abang izinkan saya untuk menggodanya?” pintanya.
Suaminya terdiam sedang memikirkan dalam-dalam akan hal itu. Kali ini, syaitan juga cuba membisikkan kepada suaminya untuk membenarkan isterinya berbuat demikian.
“Baiklah, abang izinkan.”
Keesokan harinya wanita cantik itu telah siap menjalankan rencananya. Dia bergegas berjalan menuju Masjidil Haram dan akan berpura-pura seolah-olah ingin bertanya.
“Dan setelah itu,kau rasakan penangan kejelitaanku!” ujar wanita itu pada dirinya sendiri.
Waktu itu, ‘Ubaid ibn ‘Umair sedang duduk berzikir di salah satu sudut masjid. Wanita itu mendekatinya. Dengan nada yang sangat sopan,dia mulai berbicara..
“Maaf, Tuan. Bolehkah aku menanyakan beberapa masalah kepadamu?”
“Oh, tentu saja. Tanyakanlah !” jawab ‘Ubaid ibn ‘Umair tanpa curiga sedikitpun.
Tapi tiba-tiba sahaja, wanita itu menyingkapkan wajahnya. Nampaklah kejelitaan dan kecantikannya memancar bak rembulan. ‘Ubaid ibn ‘Umair terkejut..
“Tidakkah engkau takut pada Allah?! Mengapa Engkau menyingkap wajahmu seperti itu?!”
“Tuan, aku sungguh tergoda denganmu,lakukanlah apa saja yang Tuan inginkan pada diriku…,” Wanita itu cuba untuk menggoda.
‘Ubaid ibn ‘Umair terkejut luar biasa. Hampir sahaja dia tidak tahu mahu berbuat apa. Namun Allah menolongnya. Dia masih dapat menguasai diri dan fikirannya.
“Baiklah. Sebelum aku memenuhi permintaanmu, aku ingin engkau menjawab pertanyaanku. Jika engkau mengiyakan semua pertanyaanku, aku akan penuhi keinginanmu,” kata ‘Ubaid.
“Ah, Tuan. Semua pertanyaanmu pasti akan ku iyakan! Tuan tidak perlu khuatir,” jawab wanita itu dengan penuh keyakinan.
“Baiklah. Katakanlah padaku, jika saja saat ini malaikat maut hadir untuk mencabut nyawamu, apakah engkau masih senang melakukan keinginanmu tadi bersamaku?” pertanyaan ‘Ubaid yang pertama.
Wajah wanita itu berubah. Terkejut. Hilang semua yang direncanakannya sejak tadi.
“Ttte..ntu …tti..dak, Tuan,” jawabnya.
“Andai saja engkau telah dimasukkan ke dalam kuburmu, lalu engkau didudukkan untuk ditanya, apakah engkau masih berfikir untuk melakukan keinginanmu tadi bersamaku?” Tanya ‘Ubaid yang kedua. Semakin cemas paras jelita wanita itu.
“Oh, tentu tidak, Tuan.”
“Wahai hamba Allah! Saat kita semua telah berkumpul di padang Mahsyar untuk mengambil catatan amal kita, dan engkau tak tahu apakah engkau akan menerima catatan amalmu dengan tangan kanan atau tangan kirimu, di saat itu mungkinkah engkau masih berniat melakukan apa yang kau katakana tadi padaku?” kembali ‘Ubaid ibn ‘Umair bertanya untuk ketiga kalinya.
Wanita itu semakin salah tingkahnya. Pertanyaan-pertanyaan itu membuatnya takut.
“Eh..eh..ttte..te.ntu tidak, Tuan.”
“Sekarang bayangkanlah saat-saat engkau akan menyeberangi jambatan yang melintas di atas neraka, engkau tak tahu apakah engkau akan selamat melewatinya atau tidak. Di saat itu, masihkah engkau mahu melakukan apa yang kau pinta tadi padaku?”
“Sama sekali tidak, Tuan…” jawab wanita itu.
“Baiklah. Ketika timbangan amal telah dihadirkan, lalu amalanmu pun dihadirkan, dan saat itu engkau tak tahu apakah kebaikanmu yang berat ataupun kejahatanmu. Masih terfikirkah olehmu untuk melakukannya?” Tanya ‘ubaid untuk kali keempat.
“Ah, itu saat yang mengerikan, Tuan. Mana mungkin aku berfikir tentang itu…,” ujarnya.
“Dan sekarang dengarkanlah pertanyaan terakhirku. Renungkanlah saat engkau berdiri dihadapan Allah, seorang diri. Engkau akan ditanya. Masihkah di saat seperti itu engkau terbayang untuk memintaku melakukan perbuatan keji itu terhadapmu?”
“Tuan, tidak mungkin…tidak mungkin aku melakukan itu..,” jawab wanita itu. Matanya telah memerah. Tak sanggup lagi menahan butir-butir air mata yang sejak tadi tertahan…
“Kalau begitu, takutlah pada Allah!” ujar ‘Ubaid ibn ‘Umair kemudian membalikkan badannya, dan membiarkan wanita jelita itu menangis tersedu-sedu sendiri. Di sana, di salah satu sudut Masjidil Haram.
Entah apa kini yang ada di benaknya. Tapi jelaslah, pertanyaan-pertanyaan itu terlalu menyentaknya. Wanita itu benar-benar tidak menyangka sedikit pun. Ternyata sang ‘alim yang zuhud itu “menusuk” hati nuraninya yang paling dalam. Dan wanita itupun melangkah pulang kerumahnya…
Suaminya sungguh terkejut. Tadi semasa isterinya meninggalkan rumah, jelas wajahnya begitu berseri-seri. Tapi kini pulang dan menangis tersedu-sedu. Apa yang telah terjadi? Saat si suami bertanyakan pada isterinya. Isterinya menceritakan apa yang telah terjadi.
Sejak hari itu,wanita “penggoda” itu tidak menghabiskan waktunya sedikit pun kecuali dalam tangis-tangis penghambaan pada Allah Rabbul ‘alamin. Hidup adalah jejak-jejaknya menunaikan puasa di siang hari dan solat di malam hari. Hingga tercatatlah kata-kata suaminya dalam sejarah.
“Apa salahku? Mengapa ‘Ubaid ibn ‘Umair 'merosakkan' isteriku? Dahulu, malamku bersamanya adalah malam-malam pengantin baru. Tapi kini lihatlah, dia tak ubah seperti seorang pendeta.. Terus-menerus tenggelam dalam ibadahnya…”

-Allah Maha Mengetahui-

Sunday, December 26, 2010

Hafiz..Si Penghafaz Al-Quran..


"Ummi..Tinggal lagi 6 juzuk lagi..Ummi rasa sempat tak..Hafiz rasa macam tak sempatlah ummi.." Perlahan suara Hafiz, berbisik ke telinga umminya.

"Insyaallah Hafiz..Minta Allah beri kekuatan.." Balas ummi.

Ummi berlalu ke tandas. Airmata mengalir perlahan ke pipinya. Terlalu besar ujian Allah buatnya. Namun dia perlu tabah. Anak hanyalah amanah dan pinjaman Allah buatnya.

Di sekolah, Hafiz sering pengsan dan dia pernah mengadu pada ummi dan abahnya yang dia terasa sakit-sakit badan. Setelah menjalani pemeriksaan di hospital, barulah dia dan keluarganya tahu, ajal sedang mengejarnya..

"Saya harap Tuan dan Puan tabahkan hati. Hafiz disahkan mengidap penyakit leukemia tahap terakhir. Dia hanya mempunyai 6 bulan untuk hidup. Yang selebihnya, kita serahkan pada Yang Maha Esa.."

Ummi dan Abah saling berpandangan. Bisu dan kelu. Tiada kata yang mampu dizahirkan. Ujian ini terlalu berat buat mereka.

Jika di ikutkan kata doktor, kini hayat Hafiz tinggal lagi dua bulan sahaja. Keadaannya semakin kritikal. Dia dimasukkan ke wad. Ustaz-ustaz dan rakan-rakannya datang silih berganti melawatnya. Hafiz mengenali ramai ustaz kerana dia rajin hadir ke masjid dan majlis-majlis ilmu. Hubungannya sangat akrab dengan para ustaz. Begitu juga dengan rakan-rakannya. Jika berkesempatan, Hafiz akan cuba menghafaz baki Al-Quran yang masih tertinggal.

Terngiang-ngiang di telinga ummi kata-kata Hafiz mengenai sebuah hadis : 'Siapa yang membaca Al Qur'an, mempelajarinya, dan mengamalkannya, maka dipakaikan mahkota dari cahaya pada hari kiamat. Cahayanya seperti cahaya matahari dan kedua orang tuanya dipakaiakan dua jubah (kemuliaan) yang tidak pernah didapatkan di dunia. Keduanya bertanya, "Mengapa kami dipakaikan jubah ini?" Dijawab,"Karena kalian berdua memerintahkan anak kalian untuk mempelajari Al Qur'an." (HR. Al-Hakim)'

"Sebab tulah Hafiz nak sangat hafaz Quran ni, selain manfaatnya yang tak terkira, Hafiz nak bagi ummi dan abah hadiah yang terbaik dan terindah.." Mengalir airmata ummi setiap kali terbayangkan kata-kata itu.

Walaupun usianya baru menjangkau 16 tahun, tetapi dia sudah mampu menghafaz 24 juzuk ayat Al-Quran..Kegigihannya mendalami agama benar-benar membuatkan ummi dan abah berasa bangga memiliki anak sepertinya.

Sepanjang di hospital, ummilah yang sentiasa menemaninya. Ummi sering memasang bacaan Al-Quran bagi baki 6 juzuk yang terakhir. Kadangkala semasa Hafiz diserang penyakitnya, ummi dapat melihat kumat-kumit mulutnya cuba mengikut bacaan yang di dengar. Apabila keadaan Hafiz agak stabil, dia akan meminta ummi mendengar dan menyemak bacaannya. Hatinya yang bersih memudahkannya untuk menghafal. Walaupun sekadar mendengar berulang-ulang kali, Hafiz dapat mengingat dengan baik.

"Ummi,boleh tak ummi bawa Hafiz ke tandas. Hafiz nak ambil wudhuk sendiri..Hafiz nak solat subuh berdiri dengan abah dan ummi.." Pinta Hafiz.

Sebelum ini, ketika Hafiz terlantar teruk, ummi dan abahlah yang membantu mewudhukannya. Dia juga sering mengikut ummi dan abahnya bersolat secara berjemaah walaupun dia hanya mengikut di atas katil dalam keadaan terlantar.

Hampir menitis airmata ummi melihat Hafiz cuba untuk mengagahkan dirinya berdiri,berwudhuk dan solat seperti biasa. Hafiz menyandarkan sedikit bahu sisinya ke dinding bagi membantunya berdiri.

"Assalamualaikum warahmatullah.......Assalamualaikum warahmatullah..." seusai abah memberikan salam, terus ditoleh kearah Hafiz untuk memastikan keadaannya baik.

"Abang..........." ummi bersuara perlahan. Seolah menyedari keadaan Hafiz.

Ummi dan abah terus bergerak pantas ke arah Hafiz. Hafiz masih dalam keadaan duduk tahiyat akhir. Sisi bahunya rapat di dinding. Jari telunjuknya rapat di peha. Matanya terpejam rapat.

"Hafiz..Hafiz....Hafiz......" Ummi dan abah cuba memanggil Hafiz berulang kali. Namun tiada reaksi.

"Hafiz................................" Ummi terus memeluk Hafiz ke pangkuannya setelah menyedari jasad anaknya itu tidak lagi bernyawa.

"Hafiz jangan tinggalkan ummi..Hafiz kata nak habiskan hafazan Hafiz...Tinggal lagi 2 juzuk je Hafiz...Ummi janji ummi tolong Hafiz...." Rintih ummi.

"Yang, bersabarlah..Jangan buat begini..Sabar..Allah lebih sayangkan dia.." Abah cuba menenangkan hati ummi. Walau pun hatinya juga remuk dan sedih, tetapi dia perlu tabah, jika tidak isterinya akan bertambah lemah.

Jenazah Hafiz dimandikan dan dikafankan oleh ustaz dan rakan-rakan di rumahnya. Urusan memandikan dan mengkafankan jenazah sangat mudah dilakukan. Badannya begitu lembut seperti orang yang masih hidup. Tidak kaku seperti biasa. Bagi mereka yang biasa memandikan dan mengkafankan jenazah akan dapat merasakan kelainan pada jenazah Hafiz.

"Nanti..nanti..Ramai lagi yang baru sampai.." Suara seorang jemaah. Meminta ayah Hafiz selaku imam agar tidak memulakan lagi solat jenazah..Saf sudah penuh sehingga tiada lagi ruang untuk tetamu yang tidak putus-putus datang.

"Baiklah. Kita mulakan sekarang.." Kata ayah Hafiz.

"Tapi bang, ramai lagi yang datang ni.."

"Tak pe lah, nanti kita buat second round pula..Ruang sudah penuh.." Cadang Ustaz Khalid.

Solat jenazah dimulakan, lagi dan lagi. Kerana terlalu ramai orang yang datang, solat jenazah diadakan sebanyak 3 kali atas permintaan ramai. Selepas kumpulan yang pertama selesai, kumpulan kedua mengambil tempat dengan di imamkan oleh Ustaz Kamal..Solat jenazah kali ketiga pula di imamkan Ustaz Suhaimi setelah masih ramai tetamu yang tidak berkesempatan melakukan solat jenazah..
Keajaiban seterusnya dapat dilihat tetamu yang hadir apabila jenazah dibawa keluar untuk dibawa ke kawasan perkuburan yang terdekat. Sebaik sahaja jenazah dibawa keluar dari pintu rumah, jenazah dilitupi oleh awan. Awan tersebut setia mengiringi jenazah ke tanah
perkuburan. Urusan pengebumian arwah berjalan dengan lancar. Sebaik sahaja talkin dan doa diaminkan, awan tersebut berpecah.. Hal ini dapat disaksikan dengan jelas oleh semua tetamu yang hadir...

Subhanallah.........

* Kisah ini merupakan kisah benar yang diceritakan oleh seorang ustaz .Hafiz, berasal daripada Sungai Buloh Selangor, seorang remaja yang dekat dengan Allah..Semoga dapat dijadikan iktibar buat saya dan anda semua..Berapa usia kita sekarang dan dimana ayat-ayat Al-Quran dihati kita........

-Allah Maha Mengetahui-


Friday, December 24, 2010

Hanya 'Single' Atau 'Married'..





“Farah,bukan ke abang kau dah bertunang? Kenapa aku tengok kat FB status dia masih ‘Single’..?” Tanya Nadira.
"Laa..kau ni Ira..bukan ke aku dah cakap kat kau, dalam Islam, pertunangan tu perlu dirahsiakan..Jadi, kalau ikutkan betul-betul, status kita tak kira la kat friendster ke, FB ke hanya 'Single' atau 'Married'.." Terang Farah.
Jika dilihatkan fenonema remaja pada masa kini, sudah menjadi kebiasaan mereka 'MEMPROMOSIKAN' status mereka di laman-laman sosial seperti di FB atau FS..Status-status seperti 'IN A RELATIONSHIP WITH' , 'ITS COMPLICATED' atau 'ENGAGED' menjadi trend untuk menghebahkan kepada umum akan 'milik hati' mereka ..
Status-status ini sebenarnya sangat bertentangan dengan syariat Islam..Cuba anda bayangkan, sedangkan sebuah petunangan yang disunnahkan oleh Rasulullah S.A.W pun perlu dirahsiakan, apatah lagi hubungan-hubungan 'tidak rasmi' yang lain..

Malah menambahkan lagi 'genting' keadaan para remaja Islam pada masa kini, mereka tidak segan silu memaparkan gambar-gambar bersama 'kekasih tercinta'..Ada yang berdiri bersebelahan, berpegangan tangan dan 'ber' yang lain-lain..
Jika dilihat, gambar-gambar ini akan menjadi perhatian umum. Hal ini disebabkan saya melihat, gambar mereka yang hangat 'bercouple' sangat mendapat sambutan rakan-rakan yang lain dengan pelbagai komen..
Mereka yang 'kurang' faham akan tuntutan ini mungkin merasakan Islam terlalu 'skema' atau 'mengongkong' dalam hal-hal berkaitan hati dan perasaan MUDA..Tetapi hakikatnya, Islam ingin menjaga batas pergaulan para penganutnya agar tidak wujud benih-benih 'kemungkaran dan maksiat' dalam diri manusia memenuhi fitrah 'ingin memiliki dan dimiliki'..
Masih segar dalam ingatan saya, kisah mengenai seorang rakan kepada sahabat saya..Menurutnya, rakannya itu memiliki boyfriend, statusnya di FB menjadi bukti 'in a relationship with ...' , malah turut dihiasi dengan gambar sebagai bukti 'detik-detik indah' mereka sebagai pasangan 'kekasih'.. Saya ingin menukar pepatah 'malang tidak berbau' kepada 'ajal tidak berbau'..Boyfriend rakannya itu terbabit dalam kemalangan jalan raya dan akhirnya kembali menemui Allah..
"Aku takut, risau..Aku takut kalau gambar aku dengan arwah kat FB menjadi saham dosa yang berterusan buat aku dan lebih-lebih lagi buat arwah..Aku tak boleh nak delete gambar-gambar tu, sebab aku tak tahu password dia.."
'Siapa yang makan kopi, akan terasa pahitnya'..Jadi,tunggu apa lagi..Banyak perkara 'benar' yang kita tahu, tapi sering kita abaikan dan sengaja 'buat-buat tak pernah tahu'..
Sabarlah dan bersabarlah..Apabila anda 'sah' bergelar suami isteri kelak, kongsikanlah kepada rakan-rakan anda buah cinta anda yang 'halal' pada pandangan Allah..Bukan cinta yang kita mahu 'nampak halal dan direstui' pada pandangan manusia..
Apa yang penting disini, bukanlah sekadar status atau gambar semata-mata..Sebaliknya lebih kepada tingkah laku para belangkas yang 'belum halal' di pentas dunia..Ingatlah..Bila-bila masa sahaja ajal akan memanggil kita.....'Berkorbanlah' sebentar untuk dunia ini untuk mencapai kebahagiaan hakiki di SANA....
-Allah Maha Mengetahui-

Thursday, December 23, 2010

Selagi Bolehku Panggil 'Ummi'..


"Aduh..ummi ni, kenapalah asyik membebel..tensionla.."getus hati.

"Ia ummi, abang janji abang tak buat lagi, ummi tak perlu membebel panjang.." bentak Fakhri.

"Ummi ni tak berhenti bercerita, nak tengok drama ni pun tak aman.." bentak hati.

Masyaallah..Jujur saya katakan, sebagai anak, mungkin saya sendiri atau mungkin juga anda tidak lepas daripada memberontak dan merungut setiap kali apabila mendengar ibu anda mula bersuara..

Berbagai-bagai perasaan tercetus di hati..bosan, marah, tak selesa dan tak suka barangkali bermain-main di benak minda..Macam-macam suara hati yang lahir..Tidak keterlaluan jika saya katakan tanpa kita sedari, kita telah tertinggi suara dan melukakan sekeping hati ibu hanya kerana luahan hati ibu yang lebih kita gelar sebagai 'leteran','bebelan'..

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Berita kematian ibu sahabat saya semasa cuti semester mengejutkan saya..Katanya ibunya sakit akibat santau..Beberapa hari ibunya hanya terbaring dan tidak lama kemudian menghembuskan nafas yang terakhir..Dari Allah kita datang dan kepadaNya kita kembali.. Tidak lama daripada itu juga, saya mendapat sms mengenai makluman kematian ibu rakan sekelas saya akibat sakit yang dideritainya beberapa tahun yang lalu..
"Aku rindu nak dengar suara mak aku.."

"Awak patut bersyukur..Masih mampu memanggil 'emak' awak..Saya..?Saya rindu sangat nak sebut perkataan 'ibu'.."

Kedua-dua ayat ini diujarkan pada masa yang berbeza..Walau pun cukup ringkas, tapi sudah cukup untuk melahirkan riak syahdu di kolam hati saya..Benar kata orang, bila kita kehilangan seseorang atau sesuatu, kita akan lebih menghargainya..Semenjak saya mendengar ayat tersebut, saya lebih menghargai 'suara' ummi saya..
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Memang sudah menjadi kebiasaan untuk saya mengambil alih tugas abah apabila cuti semester..Tugas mengambil ummi di tempat kerjanya..Yang pasti, sepanjang perjalanan kami, pasti akan dihiasi 'suara' ummi saya yang berkongsi perihal kerjanya,adik beradik saya dan macam-macam lagi.
Jika sebelum ini, hati saya sering memberontak..Ummi kerap mengulang-ulang kembali ceritanya..Macam-macam getusan timbul dihati saya..Kadang-kadang kerana bosan,saya langsung tidak memberikan respons sekadar mengiyakan sahaja..Alhamdulillah, sejak mendengar luahan rindu rakan-rakan yang kehilangan ibu, saya sedar..Jika ummi bercerita atau ber'suara' lagi, saya akan cuba memberikan respon..Apabila hati saya memberontak,saya akan memujuk hati saya..

"Dengarlah suara ummimu selagi dia masih hidup.."

"Berapa lamalah sangat ummimu mahu meminjam telingamu berbanding dengan perngorbanan masa,tenaga dan segalanya yang dia korbankan untuk membesarkanmu.."

Ayat-ayat inilah yang sering saya gunakan untuk meng'cool'kan hati saya..Ayuh sahabat-sahabat semua..Mari bersama-sama kita menghargai ibuayah kita, agar apabila mereka ditakdirkan untuk pergi dulu daripada kita, kita takkan menyesal kerana sering menghindari mereka..Dengarlah suara mereka sepuasnya..Tataplah wajah mereka sedalamnya..........

-Allah Maha Mengetahui-

Wednesday, December 22, 2010

Perlu Disembunyikan..???



Haa??Biar betul..Ya Allah, betapa banyaknya sunnah kekasihMu yang kami tak tahu..Saya berasa sangat terkejut apabila membaca sebuah artikel berkaitan dengan pertunangan mengikut cara Islam..
Pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan.” (Hadis riwayat Ahmad dari Abbdullah bin Zubair)

Antara kelebihan merahsiakan pertunangan adalah untuk membendung hasad dengki manusia di luar dan kerahsiaan itu menjadikan kita menahan, mengawal perangai serta pergaulan kerana masih belum sah menjadi suami isteri..Kerahsiaan ini juga dapat mengelakkan maruah kita dan keluarga terjaga..Misal kata, semasa bertunang, bukan main grand lagi, tuptup..Jodoh tidak kesampaian..Hal ini dapat mengelakkan orang sekeliling bercakap yang tidak 'enak' tentang kita dan keluarga kita..Cantiknya Islam, begitu ingin memelihara kita daripada sebarang fitnah..


Masyaallah..Sungguh,selama 20 tahun hidup, saya benar-benar sangkakan majlis pertunangan perlu dihebohkan..Sama seperti perkahwinan, tetapi dalam skala yang lebih kecil..Mana tidaknya, selama ini saya melihat ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat melayu..

Asal tunang, makanan pula,mewah..kadangkala berkatering,paling tidak pun ada khemah yang disediakan..Hantaran pula,seperti hantaran perkahwinan..Bezanya mungkin jumlah..Masa bertunang hanya dalam linkungan 5,7 dulang..Perkahwinan 9 ke atas, umpama menjadi kemastian untuk melebihkan jumlah hantaran semasa bertunang dengan hantaran perkahwinan.. pakaian si perempuan sangat cantik, umpama seorang pengantin..Lagi 'cantik' jika sebelum ini ada yang bertudung,semasa bertunang, tudung dan aurat entah disimpan dimana..kening pula,dicantasnya..masyaAllah, inilah yang sangat saya takuti..

Masih segar dalam ingatan saya, semasa saya menghadiri majlis pertunangan salah seorang sahabat rapat di Kajang..kedua-dua belah keluarga merupakan keluarga yang agak berada..Majlis pertunangan meriah persis majlis perkahwinan..Berkhemah-khemah..Hidangan pula bukan sekadar makanan berat..Beberapa booth makanan ringan dibuka sepeti booth cendol,bubur pulut hitam,mi hoon,laksa,kuih-muih dan satay..Begitu ramai yang hadir..

Berbeza pula dengan cerita seorang kenalan saya mengenai majlis pertunangan abangnya.. Pertunangan abangnya hanya berlangsung dengan sangat sederhana berlandaskan syariat.. Dengan hanya dihadiri kedua ibuayah, pertunangan dijalankan..Sekadar untuk membolehkan ibuayah berkenalan antara satu sama lain bagi memudahkan urusan yang seterusnya..Tanpa CINCIN dan HANTARAN...Subhanallah..Hebatnya mereka dalam menjalankan syariatMu ya Allah..

Dengan keadaan masyarakat kini dan kadangkala ibuayah yang kurang faham akan semua ini, sukar sebenarnya untuk melakukan seperti apa yang telah mereka lakukan..Saya akui kita sering terikat dengan cakap-cakap masyarakat..

Apa pun, setelah saya membaca satu artikel berkaitan pertunangan berlandaskan Islam, tak salah untuk kita mengadakan hantaran atau cincin kerana itu merupakan hadiah daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan..Cuma apa yang penting, janganlah kita terlalu bermewah dan berlebih-lebihan..Di khuatiri hilang berkah dalam menuju sebuah perkahwinan....

- Allah Maha Mengetahui -

Mengaku Tapi Tak Faham


Saya masih lagi ingat ketika di dalam kelas Ustazah Aziah..Semester 3 persediaan kalau tak silap..Waktu tu kami sedang belajar topik 'Hegemoni Barat'..

"Kamu berpegang kepada mazhab apa?" tanya ustazah.
"Ahli Sunnah Wal Jamaah," dengan pantas kami menjawab serentak.

Ustzh.Aziah menganggukkan kepalanya tanda 'betulnya' jawapan kami..Kemudian..

"Kalau betullah kamu semua ni bermazhab ahli sunnah wal jamaah, cube bagitau ustazah, apakah PRINSIP-PRINSIP mazhab tersebut..?" ustazah cuba menduga kami.

"Percaya bahawa Al-Quran itu kalam Allah, bukan makhluk." Jawab seorang pelajar.

"Lagi?"

Suasana menjadi senyap. Kelihatan semua pelajar, sedang memikirkan sesuatu. Soalan tersebut sangat mudah sebenarnya..Tapi ia benar-benar memaksa kami untuk berfikir dan mengimbas kembali subjek Agama Islam tingkatan 5 memandangkan seingat saya waktu itulah kami didedahkan dengan perkara..Sejujurnya sebelum ini saya sendiri tidak tahu..Mungkin kerana kealpaan diri sendiri yang sering menganggap mudah hal-hal berkaitan agama..

"Macam mana kamu ni..Mengaku ahli sunnah, tapi tak tahu apa itu ahli sunnah..," rendah nada suara ustazah kali ini. Sesal dengan sikap kami agaknya. Umur dah 20 tahun, tapi soalan berkaitan agama sendiri, gagal dijawab.

Saya menarik nafas, bermuhasabah panjang. Lalu dihembus keras nafas tersebut. Ada nada kesal di jiwa saya..Benarlah apa yang dikata orang..'Pelajar kini belajar untuk peperiksaan semata-mata..Lepas periksa semua hilang umpama sebuah maklumat yang di delete dari failnya..Kosong..'

Alhamdulillah, soalan tersebut telah berjaya , mengetuk pintu hati saya untuk 'mengambil tahu' tentang apa yang menjadi pegangan saya..Kalaupun bukan untuk orang lain, untuk diri sendiri..

Sejak kebelakangan ini pula, saya kerap mendengar pula berkaitan dengan Syiah..Penguatkuasa di negara ini giat melakukan modus operandi bagi memerangi mereka yang dikatakan 'sesat' dan yang paling mengejutkan saya, dikatakan mereka ini 'menghalalkan darah mukmin yang bukan Syiah'..Naudzubillah..

Bagi saya,kenyataan tersebut terlalu 'keras' buat mereka..Ada pemimpin negara yang membuat statement berkaitan hal ini..Kadangkala saya benar ingin tahu, adakah mereka yang memberikan kenyataan sekeras ini sendiri faham dan tahu akan Ahli-sunnah yang dipegang mereka..Jangan terlalu mudah menghukum sedangkan kita sendiri 'mengaku tapi tak faham'....

Jadi,cuba anda pula uji diri anda..Apakah yang anda faham tentang apa yang anda pegang....? Tepuk dada, tanya iman..

-Allah Maha Mengetahui-