Showing posts with label Saya. Show all posts
Showing posts with label Saya. Show all posts

Tuesday, May 31, 2011

Bagaimana Saya Mengenali Mathurat..


Permulaan Kisah..

Bila saya teringat kembali peristiwa tersebut, saya tersenyum sendirian. Melalui peristiwa itulah saya mula mendengar dan mengenali apa itu Al-Mathurat..

"Awak nak tak kalau umi belikan awak Al-Mathurat?" Tanya Umi Hamidah, umi angkat saya yang juga merupakan guru saya.

"Al-Mathurat? Buat apa susah-susah nak beli umi?"

"Laa..nanti boleh awak amalkan, boleh bawa pergi mana-mana je."

"Tak perlu susah-susah la umi. Dalam Al-Quran kan ada. Baca je la dalam Al-Quran." Jawab saya selamba.

Umi nampak terkejut dengan jawapan saya, namun ada sedikit tawa yang kedengaran. Saya sendiri keliru, tak tahu apa yang tidak kena dengan jawapan saya. Saya terdiam dan memandang wajah umi dengan seribu persoalan.

"Mana ada Al-Mathurat dalam Al-Quran. Mathurat tu bukan salah satu surah, tapi susunan zikir yang diamalkan oleh Rasulullah." Terang umi lalu menerangkan kelebihan-kelebihan Al-Mathurat.

Kini giliran saya pula tertawa.

Mula-mula Susah..

"Ya Allah, panjang jugak Al-Mathurat ni, jenuh nak habiskan..." Keluh hati saya. Tidak saya nafikan, kadangkala terasa berat membaca Al-Mathurat. Terasa begitu lama untuk menghabiskannya.

"Aik, dah abis dah.." Getus hati setelah bermujahadah untuk mengamalkan Al-Mathurat. Ya, tidak saya nafikan, untuk mengamalkan sesuatu yang baik bukannya mudah. Istiqamah adalah kunci utama.

Lebih indah lagi jika Al-Mathurat dibacakan secara berjemaah. Alhamdulillah, sahabat-sahabat di bumi kenyalang dan di bumi Bangsar sangat konsisten dengan bacaan Al-Mathurat yang dibacakan secara berjemaah selepas solat fardhu Maghrib.

Kelebihan Al-Mathurat..

1. Tidak dihampiri syaitan
2. Rumah dan keluarganya terselemat dari perkara yang tidak diingini.
3. Allah mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat.
4. Orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga.
5. Selamat dari segala sesuatu.
6. Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya.
7. Allah berhak untuk meredhainya
8. Tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya.
9. Terhindar daripada syirik.
10. Selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun.
11. Dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang.
12. Berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat.
13. Sesiapa yang membaca di waktu pagi,akan dipelihara oleh allah hingga ke waktu petang.Dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.
14.Mengamalkannya umpama mengamalkan Sunnah Rasulullah dari sudut zikir dan berdoa, dan berbagai lagi kelebihan

- Allah Maha Mengetahui -

Wednesday, April 6, 2011

Peganglah Dunia..


Pada petang itu, saya melangkah juga ke Surau Al-Jannah bagi menghadiri usrah, dengan langkah yang sangat berat..Satu persatu langkah di susun, akhirnya saya tiba juga..Tidak saya nafikan kadang-kala perasaan itu datang menjengah di saat tugasan datang silih berganti..bertimbun-timbun.. Sampaikan terasa tidak sempat untuk bernafas..Dengan hati penuh keterpaksaan saya meninggalkan dua orang rakan untuk terus menyambung tugasan yang perlu dihantar keesokan harinya..

Naqibah bertanya kepada saya tugasan apa yang belum saya selesaikan..Saya membuka mulut, penuh megah bercerita kepadanya 'kesibukan' yang saya dan sahabat-sahabat lalui, dengan harapan dia mengerti..Akhirnya......

Kata-kata itu...
Cukup menyentap hati..
Bagai pisau yang baru diasah..
Menusuk tajam..
Ke ruang yang paling dalam..
Lidah menjadi kelu..
Kaku dan bisu..
Ku tertunduk..
Sendiri merasa malu.....

"Haa..cuba adik-adik tengok..kalau kita ikutkan urusan dunia, sampai bila pun takkan habis..Lepas satu, ada lagi..Ada lagi dan ada lagi..Kalau langsung kita tak ada masa untuk usrah, majlis-majlis ilmu,masa kita akan kita habiskan pada hal-hal dunia.."

Kata-kata yang cukup ringkas dituturkan oleh Naqibah saya, cukup mendalam bagi saya..Saya berbisik ke dalam diri..

"Ya, jika diikutkan banyaknya urusan dunia..tidak akan pernah putus dan terhenti..Saya yang harus memegang dunia (mengawal kehidupan saya agar seimbang antara dunia dan akhirat)..Bukan membiarkan dunia yang memegang saya.............."

Thursday, January 6, 2011

Susah Baru Ingat....


"Cepat! Cepat! Ada budak kena rasuk," Berita yang didengar daripada Siti mengejutkan saya dan sahabat yang berada di dalam bilik.
"Bilik mana?"
"Blok 2 bilik 223. Hani la.."

Dengan pantas, Ija salah seorang daripada kami pergi ke bilik hadapan untuk memaklumkan kepada sahabat-sahabat yang lain. Perkara ini biasa berlaku ditempat kami memandangkan kawasan asrama yang diduduki berhampiran dengan kawasan bukit..

Apabila berlaku kes-kes kerasukan, tidak cukup dengan hanya tenaga 4 orang daripada kami. Kami perlukan bantuan daripada sahabat lain untuk membantu. Dengan pantas, kami menyarungkan tudung dan berlari menuju ke blok 2. Mujurlah jarak antara blok tidak terlalu jauh.

"Arghhhhhhhhhhh.." Hani yang dirasuk menjerit.

Sukar untuk kami masuk ke biliknya. Dia telah menyandarkan rak buku ke pintu dan menguncinya. Ini menyebabkan kami tidak dapat masuk ke dalam. Kami perlu bertindak pantas. Khuatir andainya Hani melakukan perkara yang tidak sewajarnya. Bila-bila masa saja dia boleh terjun ke bawah melalui tingkap atau mencederakan dirinya.

Laila bertindak pantas pergi ke rumah warden untuk mendapatkan kunci biliknya. Tidak lama kemudian dia naik semula bersama kunci. Setelah berjaya membuka pintu, kami cuba menolak pintu perlahan-lahan. Agak sukar kerana rak buku terlalu berat. Tambahan pula, Hani semakin agresif. Dia cuba melawan dengan menolak kembali pintu dengan kuat.

"Tak boleh jadi ni. Kita kena tolak pintu ni ramai-ramai. Baru boleh rasanya." Cadang Jiha. Penghuni aras berkenaan berkumpul memerhatikan kami. Ada raut cemas diwajah mereka.

"1..2..3..!" Saya, Syida dan Alia menolak pintu tersebut sekuat mungkin. Rak buku terjatuh dan kami berjaya masuk.

Dengan pantas Laila dan Ija menerkam ke arah Hani yang sedang mengamuk. Terlalu sukar untuk menjatuhkannya untuk memudahkan kami mengawalnya. Setelah kami beramai-ramai berhadapan dengannya, akhirnya Hani berjaya dibaringkan. Saya dan Syida memegang tangannya. Alia dan Laila di bahagian kaki. Manakala Ija berusaha untuk membantu Hani untuk pulih. Sakit juga tangan dibuatnya. Tenaga rasukan tersebut terlalu kuat. Meronta-ronta cuba untuk melawan.
Alhamdulillah, apabila makhluk tersebut mengaku kalah dengan ayat-ayat Allah yang dibaca tanpa henti, Hani mula sedar. Apabila keadaannya mula stabil, Jiha memberikan beberapa pesanan kepada Hani sebagai pendinding diri.

Keesokan harinya, kami lihat Hani hanya pergi ke kuliah dengan bertudung dan memakai baju yang longgar berbanding sebelum ini tanpa tudung dan berbaju serta berseluar ketat. Kadangkala kami ke biliknya kerana Hani masih merasa takut dan trauma. Apabila kami ke biliknya, bergema bacaan ayat-ayat Al-Quran daripada laptop yang dipasang. Pakaiannya dibilik juga semakin baik kerana memakai seluar panjang jika sebelum ini, sekadar berseluar pendek sehingga menampakkan peha dan lagu-lagu lagha menjadi halwa telinga.

Tidak lama kemudian, sedikit demi sedikit, Hani kembali berubah. Tiada lagi tudung yang menutupi kepalanya. Tiada lagi bacaan Al-Quran yang bergema dibiliknya. Beberapa bulan berikutnya, Hani dirasuk kembali. Dia kembali dekat kepada Allah dan selepas itu kembali lagi kepada kehidupan biasanya. Begitu juga dengan kebanyakan kes-kes rasuk yang lain. Begitulah putarannya.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

"Benarlah, manusia hanya ingat Allah bila berada dalam kesusahan," kata Syida
"Mungkin sebab tu Allah sering mendatangkan ujian kepada kita, untuk mengingatkan kita kepadaNya," sambung Ija.
"Dan bila kita senang dan berada di zon selesa, kita kembali melupakanNya.." kata Alia.

Ada benarnya kata sahabat-sahabat saya. Sering saya perhatikan pada diri saya sendiri dan mungkin orang lain, apabila berada di dalam kesusahan, barulah mencari Allah.. Apabila rasa selesa, ok dan tak teruji jarang hati mengingati Ilahi.. Duhai hati..Bukan Allah yang menjauhi..Sebaliknya manusialah yang sering menyisihkan diri dari kasih Ilahi...Semoga kita sentiasa ditetapkan hati di atas jalanNya......

-Allah Maha Mengetahui -

Thursday, December 23, 2010

Selagi Bolehku Panggil 'Ummi'..


"Aduh..ummi ni, kenapalah asyik membebel..tensionla.."getus hati.

"Ia ummi, abang janji abang tak buat lagi, ummi tak perlu membebel panjang.." bentak Fakhri.

"Ummi ni tak berhenti bercerita, nak tengok drama ni pun tak aman.." bentak hati.

Masyaallah..Jujur saya katakan, sebagai anak, mungkin saya sendiri atau mungkin juga anda tidak lepas daripada memberontak dan merungut setiap kali apabila mendengar ibu anda mula bersuara..

Berbagai-bagai perasaan tercetus di hati..bosan, marah, tak selesa dan tak suka barangkali bermain-main di benak minda..Macam-macam suara hati yang lahir..Tidak keterlaluan jika saya katakan tanpa kita sedari, kita telah tertinggi suara dan melukakan sekeping hati ibu hanya kerana luahan hati ibu yang lebih kita gelar sebagai 'leteran','bebelan'..

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Berita kematian ibu sahabat saya semasa cuti semester mengejutkan saya..Katanya ibunya sakit akibat santau..Beberapa hari ibunya hanya terbaring dan tidak lama kemudian menghembuskan nafas yang terakhir..Dari Allah kita datang dan kepadaNya kita kembali.. Tidak lama daripada itu juga, saya mendapat sms mengenai makluman kematian ibu rakan sekelas saya akibat sakit yang dideritainya beberapa tahun yang lalu..
"Aku rindu nak dengar suara mak aku.."

"Awak patut bersyukur..Masih mampu memanggil 'emak' awak..Saya..?Saya rindu sangat nak sebut perkataan 'ibu'.."

Kedua-dua ayat ini diujarkan pada masa yang berbeza..Walau pun cukup ringkas, tapi sudah cukup untuk melahirkan riak syahdu di kolam hati saya..Benar kata orang, bila kita kehilangan seseorang atau sesuatu, kita akan lebih menghargainya..Semenjak saya mendengar ayat tersebut, saya lebih menghargai 'suara' ummi saya..
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Memang sudah menjadi kebiasaan untuk saya mengambil alih tugas abah apabila cuti semester..Tugas mengambil ummi di tempat kerjanya..Yang pasti, sepanjang perjalanan kami, pasti akan dihiasi 'suara' ummi saya yang berkongsi perihal kerjanya,adik beradik saya dan macam-macam lagi.
Jika sebelum ini, hati saya sering memberontak..Ummi kerap mengulang-ulang kembali ceritanya..Macam-macam getusan timbul dihati saya..Kadang-kadang kerana bosan,saya langsung tidak memberikan respons sekadar mengiyakan sahaja..Alhamdulillah, sejak mendengar luahan rindu rakan-rakan yang kehilangan ibu, saya sedar..Jika ummi bercerita atau ber'suara' lagi, saya akan cuba memberikan respon..Apabila hati saya memberontak,saya akan memujuk hati saya..

"Dengarlah suara ummimu selagi dia masih hidup.."

"Berapa lamalah sangat ummimu mahu meminjam telingamu berbanding dengan perngorbanan masa,tenaga dan segalanya yang dia korbankan untuk membesarkanmu.."

Ayat-ayat inilah yang sering saya gunakan untuk meng'cool'kan hati saya..Ayuh sahabat-sahabat semua..Mari bersama-sama kita menghargai ibuayah kita, agar apabila mereka ditakdirkan untuk pergi dulu daripada kita, kita takkan menyesal kerana sering menghindari mereka..Dengarlah suara mereka sepuasnya..Tataplah wajah mereka sedalamnya..........

-Allah Maha Mengetahui-

Wednesday, December 22, 2010

Mengaku Tapi Tak Faham


Saya masih lagi ingat ketika di dalam kelas Ustazah Aziah..Semester 3 persediaan kalau tak silap..Waktu tu kami sedang belajar topik 'Hegemoni Barat'..

"Kamu berpegang kepada mazhab apa?" tanya ustazah.
"Ahli Sunnah Wal Jamaah," dengan pantas kami menjawab serentak.

Ustzh.Aziah menganggukkan kepalanya tanda 'betulnya' jawapan kami..Kemudian..

"Kalau betullah kamu semua ni bermazhab ahli sunnah wal jamaah, cube bagitau ustazah, apakah PRINSIP-PRINSIP mazhab tersebut..?" ustazah cuba menduga kami.

"Percaya bahawa Al-Quran itu kalam Allah, bukan makhluk." Jawab seorang pelajar.

"Lagi?"

Suasana menjadi senyap. Kelihatan semua pelajar, sedang memikirkan sesuatu. Soalan tersebut sangat mudah sebenarnya..Tapi ia benar-benar memaksa kami untuk berfikir dan mengimbas kembali subjek Agama Islam tingkatan 5 memandangkan seingat saya waktu itulah kami didedahkan dengan perkara..Sejujurnya sebelum ini saya sendiri tidak tahu..Mungkin kerana kealpaan diri sendiri yang sering menganggap mudah hal-hal berkaitan agama..

"Macam mana kamu ni..Mengaku ahli sunnah, tapi tak tahu apa itu ahli sunnah..," rendah nada suara ustazah kali ini. Sesal dengan sikap kami agaknya. Umur dah 20 tahun, tapi soalan berkaitan agama sendiri, gagal dijawab.

Saya menarik nafas, bermuhasabah panjang. Lalu dihembus keras nafas tersebut. Ada nada kesal di jiwa saya..Benarlah apa yang dikata orang..'Pelajar kini belajar untuk peperiksaan semata-mata..Lepas periksa semua hilang umpama sebuah maklumat yang di delete dari failnya..Kosong..'

Alhamdulillah, soalan tersebut telah berjaya , mengetuk pintu hati saya untuk 'mengambil tahu' tentang apa yang menjadi pegangan saya..Kalaupun bukan untuk orang lain, untuk diri sendiri..

Sejak kebelakangan ini pula, saya kerap mendengar pula berkaitan dengan Syiah..Penguatkuasa di negara ini giat melakukan modus operandi bagi memerangi mereka yang dikatakan 'sesat' dan yang paling mengejutkan saya, dikatakan mereka ini 'menghalalkan darah mukmin yang bukan Syiah'..Naudzubillah..

Bagi saya,kenyataan tersebut terlalu 'keras' buat mereka..Ada pemimpin negara yang membuat statement berkaitan hal ini..Kadangkala saya benar ingin tahu, adakah mereka yang memberikan kenyataan sekeras ini sendiri faham dan tahu akan Ahli-sunnah yang dipegang mereka..Jangan terlalu mudah menghukum sedangkan kita sendiri 'mengaku tapi tak faham'....

Jadi,cuba anda pula uji diri anda..Apakah yang anda faham tentang apa yang anda pegang....? Tepuk dada, tanya iman..

-Allah Maha Mengetahui-