Thursday, January 6, 2011

Susah Baru Ingat....


"Cepat! Cepat! Ada budak kena rasuk," Berita yang didengar daripada Siti mengejutkan saya dan sahabat yang berada di dalam bilik.
"Bilik mana?"
"Blok 2 bilik 223. Hani la.."

Dengan pantas, Ija salah seorang daripada kami pergi ke bilik hadapan untuk memaklumkan kepada sahabat-sahabat yang lain. Perkara ini biasa berlaku ditempat kami memandangkan kawasan asrama yang diduduki berhampiran dengan kawasan bukit..

Apabila berlaku kes-kes kerasukan, tidak cukup dengan hanya tenaga 4 orang daripada kami. Kami perlukan bantuan daripada sahabat lain untuk membantu. Dengan pantas, kami menyarungkan tudung dan berlari menuju ke blok 2. Mujurlah jarak antara blok tidak terlalu jauh.

"Arghhhhhhhhhhh.." Hani yang dirasuk menjerit.

Sukar untuk kami masuk ke biliknya. Dia telah menyandarkan rak buku ke pintu dan menguncinya. Ini menyebabkan kami tidak dapat masuk ke dalam. Kami perlu bertindak pantas. Khuatir andainya Hani melakukan perkara yang tidak sewajarnya. Bila-bila masa saja dia boleh terjun ke bawah melalui tingkap atau mencederakan dirinya.

Laila bertindak pantas pergi ke rumah warden untuk mendapatkan kunci biliknya. Tidak lama kemudian dia naik semula bersama kunci. Setelah berjaya membuka pintu, kami cuba menolak pintu perlahan-lahan. Agak sukar kerana rak buku terlalu berat. Tambahan pula, Hani semakin agresif. Dia cuba melawan dengan menolak kembali pintu dengan kuat.

"Tak boleh jadi ni. Kita kena tolak pintu ni ramai-ramai. Baru boleh rasanya." Cadang Jiha. Penghuni aras berkenaan berkumpul memerhatikan kami. Ada raut cemas diwajah mereka.

"1..2..3..!" Saya, Syida dan Alia menolak pintu tersebut sekuat mungkin. Rak buku terjatuh dan kami berjaya masuk.

Dengan pantas Laila dan Ija menerkam ke arah Hani yang sedang mengamuk. Terlalu sukar untuk menjatuhkannya untuk memudahkan kami mengawalnya. Setelah kami beramai-ramai berhadapan dengannya, akhirnya Hani berjaya dibaringkan. Saya dan Syida memegang tangannya. Alia dan Laila di bahagian kaki. Manakala Ija berusaha untuk membantu Hani untuk pulih. Sakit juga tangan dibuatnya. Tenaga rasukan tersebut terlalu kuat. Meronta-ronta cuba untuk melawan.
Alhamdulillah, apabila makhluk tersebut mengaku kalah dengan ayat-ayat Allah yang dibaca tanpa henti, Hani mula sedar. Apabila keadaannya mula stabil, Jiha memberikan beberapa pesanan kepada Hani sebagai pendinding diri.

Keesokan harinya, kami lihat Hani hanya pergi ke kuliah dengan bertudung dan memakai baju yang longgar berbanding sebelum ini tanpa tudung dan berbaju serta berseluar ketat. Kadangkala kami ke biliknya kerana Hani masih merasa takut dan trauma. Apabila kami ke biliknya, bergema bacaan ayat-ayat Al-Quran daripada laptop yang dipasang. Pakaiannya dibilik juga semakin baik kerana memakai seluar panjang jika sebelum ini, sekadar berseluar pendek sehingga menampakkan peha dan lagu-lagu lagha menjadi halwa telinga.

Tidak lama kemudian, sedikit demi sedikit, Hani kembali berubah. Tiada lagi tudung yang menutupi kepalanya. Tiada lagi bacaan Al-Quran yang bergema dibiliknya. Beberapa bulan berikutnya, Hani dirasuk kembali. Dia kembali dekat kepada Allah dan selepas itu kembali lagi kepada kehidupan biasanya. Begitu juga dengan kebanyakan kes-kes rasuk yang lain. Begitulah putarannya.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

"Benarlah, manusia hanya ingat Allah bila berada dalam kesusahan," kata Syida
"Mungkin sebab tu Allah sering mendatangkan ujian kepada kita, untuk mengingatkan kita kepadaNya," sambung Ija.
"Dan bila kita senang dan berada di zon selesa, kita kembali melupakanNya.." kata Alia.

Ada benarnya kata sahabat-sahabat saya. Sering saya perhatikan pada diri saya sendiri dan mungkin orang lain, apabila berada di dalam kesusahan, barulah mencari Allah.. Apabila rasa selesa, ok dan tak teruji jarang hati mengingati Ilahi.. Duhai hati..Bukan Allah yang menjauhi..Sebaliknya manusialah yang sering menyisihkan diri dari kasih Ilahi...Semoga kita sentiasa ditetapkan hati di atas jalanNya......

-Allah Maha Mengetahui -

No comments:

Post a Comment